Ahad, 13 Mac 2016

Kanser kolorektal pembunuh senyap

SEBAHAGIAN besar daripada kita mungkin mengenali seseorang yang meninggal dunia terlalu awal dan secara mengejut.


                   Mungkin ada yang tidak mempunyai pilihan, sementara yang lain mungkin mempunyai peluang untuk melakukan sesuatu bagi mengelakkan mati terlalu muda. “Bagaimana jika”, adalah persoalan yang sering menghantui fikiran seseorang yang kehilangan orang tersayang akibat tidak mengambil langkah awal seperti pemeriksaan awal sebelum penyakit yang terkenal dengan gelaran “pembunuh senyap” menyerang.


Kanser kolorektal adalah salah satu penyakit yang digelar pembunuh secara senyap. Ramai yang tidak menyedari bahayanya sehingga simptom muncul. Kebanyakan pesakit kanser kolorektal terutama bahagian usus besar tidak mengalami sebarang simptom pada peringkat awal.


Simptomnya yang tidak nyata dan sering disalah tafsir sebagai masalah lain membuatkan ia sering diabaikan begitu sahaja dan salah diagnos mungkin berlaku akibat tidak bertemu dengan pakar. Apabila simptom muncul dan berterusan, penyakit tersebut sudah mara ke tahap rawatan menjadi lebih susah.


Walaupun bunyinya menakutkan, kanser kolorektal boleh dirawat jika ia ditemui di peringkat awal dan kolonoskopi merupakan alat yang paling efektif bagi mencegah kelainan di dalam usus sebelum berubah menjadi sel kanser.


Kanser kolorektal yang terdiri daripada kolon dan rektum di dalam usus besar berlaku apabila tumor terbentuk di lapisan usus besar. Terang Dr. Shanthi, ia boleh berlaku kepada lelaki dan perempuan dan risikonya lebih tinggi bagi mereka berusia 40 tahun ke atas. “Namun golongan muda tidak terkecuali daripada menghidap kanser usus akibat persekitaran dan gabungan faktor-faktor lain. Pesakit paling muda yang pernah saya rawati berusia 17 tahun.


“Di Malaysia, pesakit berbangsa Cina merupakan golongan yang tertinggi menghidap kanser kolorektal, dipercayai ada kaitan dengan genetik dan pemakanan mereka. “Seperti kanser lain, apa yang paling merisaukan adalah apabila ia berada pada tahap yang tinggi dan merebak ke organ penting lain seperti hati dan paru-paru yang boleh membawa maut,” ujarnya.


Rawatan


Menemui simptom pada peringkat awal kanser kolorektal iaitu dalam bentuk polip merupakan kunci utama untuk melawannya. Tegas Dr. Shanthi, kolonoskopi merupakan cara terbaik kerana ia adalah langkah pengesanan awal ketika masih di peringkat polip.


Cara lain bagi mendiagnos kanser kolorektal ialah endoskopi dengan mengambil sel di dalam usus untuk dihantar ke makmal selain imbasan x-ray dan CT colonography turut boleh dilakukan bagi mendiagnosis kanser tersebut. Jika disahkan menghidap kanser kolorektal, jenis rawatan pula bergantung kepada tahap kanser tersebut.


Tiga rawatan utama ialah pembedahan, kemoterapi dan radiasi. “Jika ia pada tahap masih boleh dibedah, pembedahan di bahagian usus yang mempunyai sel kanser dan lebihan sekelilingnya akan dibuang dan bahagian yang terputus akan disambung. “Namun, jika ia berlaku di bahagian yang terlalu bawah iaitu di rektum, kemungkinan pesakit perlu memakai alat bantuan membuang bahan buangan melalui laluan khas keluar dari bahagian abdomen iaitu stoma selepas pembedahan.


“Rawatan lain termasuk kemoterapi, radioterapi dan imunoterapi, terapi yang mensasarkan terus ke bahagiam mutasi,” terangnya. Ketika pembedahan tersebut, sempadan tisu normal usus dan nodus limfa yang berdekatan turut akan dibuang bagi memastikan kanser tidak merebak. Peratusan pesakit yang menjalani rawatan untuk menjalani kehidupan seperti biasa adalah tinggi jika mendapat rawatan awal.


Usus besar 
dan rektum


Kanser usus besar merupakan kanser pada bahagian usus besar iaitu bahagian bawah sistem penghadaman manakala kanser rektum pula merupakan kanser beberapa inci terakhir usus besar. Kedua-duanya sering digelar kanser kolorektal.


Kebanyakan kes kanser kolorektal bermula dari ketumbuhan kelompok sel bukan kanser (benign) yang digelar polip adenomatous dan dari semasa ke semasa polip ini boleh bertukar menjadi kanser. Dalam kebanyakan kes, punca kanser kolorektal tidak dapat dikenal pasti dan berlaku apabila sel sihat di dalam usus mengalami perubahan.


Kebanyakan permulaan kanser kolorektal tidak mempunyai simptom yang nyata dan biasanya simptom bergantung kepada bahagian mana kanser itu berada. Jika di bahagian kanan usus besar, simptomnya kurang jelas seperti najis selalunya mengandungi banyak air dan kehilangan darah lalu menyebabkan pesakit mudah penat dan pucat.


Manakala jika pada bahagian kiri pula, pesakit selalunya mengalami simptom perubahan pembuangan air besar, sakit ketika membuang air besar, banyak lendir pada tinja, berat badan menurun dan selera makan berkurangan.


Namun simptom-simptomnya kurang jelas dan berbeza-beza. Maka mereka yang berisiko dan melihat sebarang perubahan perlu segera bertemu dengan pakar.


(Sumber - Utusan Online)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan